09. Kewujudan makhluk rohani

9:  KEWUJUDAN MAKHLUK ROHANI

[Kewujudan makhluk rohani yang diciptakan daripada api yang tiada asap (jin)]

Dia campurkan api dan tumbuh-tumbuhan, maka bentuk jin dijadikan
sebagai ruang di antara dua keadaan.

Ia adalah di antara roh yang berjasad dengan tempat yang dalam
dan roh yang tiada “di mana”.

Yang menerima jasad mencari makanan
untuk pembesaran tanpa kepalsuan,

Dan yang menerima malaikat-malaikat, menerima hati bagi
mengambil bentuk dalam keasliannya.

Kerana sebab ini, ia mentaati pada satu ketika dan menentang pada ketika lain
Dia akan balas mereka yang tidak taat dengan dua api.

[Penciptaan Jin, malaikat dan manusia]

Allah berfirman,
Dia ciptakan jin daripada pucuk api yang tiada asap” (55:14).
Hadis menceritakan,
“Allah ciptakan malaikat daripada nur, dan Allah ciptakan jin daripada api, dan Dia ciptakan manusia daripada apa yang telah dikhabarkan kepada kamu”.
Apa yang Rasulullah s.a.w katakan mengenai ciptaan manusia “seperti yang telah diceritakan kepada kamu”, baginda memberi ketegasan dan tidak menjelaskannya seperti yang baginda lakukan pada menceritakan ciptaan malaikat dan jin. Rasulullah s.a.w “diberikan segala perkataan”. Ini adalah sebahagian daripadanya. Asas ciptaan malaikat dan jin tidak berubah. Asas ciptaan manusia berubah kerana ada empat kategori kejadian manusia. Kejadian Adam tidak menyerupai kejadian Hawa. Kejadian Hawa tidak meneyrupai kejadian keturunan Adam yang lain. Kejadian Isa tidak menyerupai yang lain. Di sini Rasulullah s.a.w memberi penjelasan. Baginda menyampaikan kepada kita perincian kejadian manusia. Adam diciptakan daripada tanah liat, Hawa daripada tulang rusuk, Isa daripada tiupan Roh, keturunan Adam daripada
air yang hanyir” (77:20).

[Konsep perkaitan langit dan bumi]

Bila Allah dirikan empat anasir asas dan asap naik ke bahagian bawah Sfera Bintang-bintang Yang Tetap, tujuh langit dibentangkan di dalam asap itu, setiap satu berpisah daripada yang lain. Dia
bukakan pada setiap langit ketentuannya”
selepas
Dia adakan dalamnya rezekinya”
dan semua ini
“dalam empat hari”.
Kemduian Dia berfirman,
“kepada langit dan bumi: Datanglah dengan rela atau terpaksa”. (41:9-11).

Kemudian Allah adakan perkaitan di antara langit dan bumi dan arah yang dengannya Dia berkehendak mengadakan benda-benda di bumi dalam bentuk bahan galian, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dia jadikan bumi seumpama isteri dan langit seumpama suami. Langit menyalurkan perintah Allah kepada bumi sebagaimana suami memindahkan air mani kepada isterinya. Dengan demikian bumi membawa keluar jenis-jenis pembentukan yang Allah sembunyikan di dalamnya.

[Empat anasir dan pembentukan manusia dan jin]

Bila udara dinyalakan dan dipanaskan, ia membakar seperti pelita. Pembakaran api itu adalah nyalaan udara dan ianya tidak berasap (marj, bercampur-aduk) kerana ia bercampur dengan udara dan adalah udara yang terbakar. Marj adalah campuran dan daripada ini yang tidak berasap itu adalah marj kerana tumbuh-tumbuhan bercampur di dalamnya.

Jin adalah campuran dua anasir iaitu api dan udara, sebagaimana manusia merupakan campuran dua anasir iaitu air dan tanah diuli bersama yang menjadikannya tanah liat. Begitu juga campuran udara dan api dinamakan ‘api yang tidak berasap’. Allah ciptakan bentuk jin dalam api yang tidak berasap itu. Oleh kerana anasir udara ada dengan jin, maka jin boleh mengambil berbagai-bagai bentuk yang mereka mahu. Oleh kerana ada anasir api dengannya maka ia menjadi tidak nyata dan seni, dan mereka mencari kekuasaan, kemegahan dan kekuatan kerana api merupakan bahagian yang paling tinggi dalam anasir-anasir itu dan ia mempunyai pengaruh yang kuat untuk menukarkan sesuatu sebagaimana hukum alam kehendaki. Inilah sebabnya jin iblis menyombong dan enggan sujud kepada Adam bila Allah memerintahkannya berbuat demikian lantaran pandangannya yang tinggi terhadap dirinya. Dia berkata,
Aku lebih baik daripadanya” (7:12),
bermaksud menurut dasar bahawa Allah lebih menyukai api daripada anasir-anasir yang lain.

Jin tidak tahu bahawa anasir air yang daripadanya Adam diciptakan lebih kuat daripada api kerana air boleh memadamkan api dan tanah adalah lebih teguh daripada api melalui kesejukan dan kekeringan. Adam memiliki kekuatan dan kemantapan melalui penguasaan dua anasir tersebut yang Allah jadikannya. Walaupun dia juga memiliki anasir-anasir yang lain – udara dan api, anasir tersebut tidak ada kekuasaan atasnya. Jin juga memiliki anasir-anasir selebihnya….

Adam dikurniakan sifat rendah diri berdasarkan sifat tanah yang ada dengannya. Bila dia menjadi megah, itu hanyalah yang datang kemudian (bukan sifat semulajadinya). Dia menerima sifat tersebut kerana anasir api yang ada dengannya sebagaimana imaginasi dan keadaannya menerima berbagai-bagai suasana kerana anasir udara dengannya. Jin bersifat menyombong kerana sifat api yang ada dengannya. Jika mereka merendah diri, itu adalah yang datang kemudian (bukan sifat asli), ia boleh datang kerana anasir tanah yang ada dengannya. Mereka juga menerima ketetapan dalam menggunakan tipu daya jika mereka syaitan, dan menerima ketetapan untuk berbuat taat jika mereka bukan syaitan.

[Keadaan jin bila surah ar-Rahman (surah 55 dalam Quran) dibacakan]

Bila Rasulullah s.a.w membacakan surah ar-Rahman kepada para sahabat baginda, baginda bersabda, “Aku membacakannya kepada kumpulan jin. Mereka mendengarkannya lebih baik daripada kamu. Bila aku katakan,’Nikmat Tuhan kamu yang manakan kamu nafikan?’ mereka melafazkan,’kami tidak nafikan sebarang nikmat Tuhan kami!’ Ia meneguhkan mereka dan tidak menggeletar bila dibacakan,’Nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu nafikan?’ dalam bacaannya. Ini adalah cetusan sifat jin yang keluar daripada aanasir tanah dan air yang memadamkan nyalaan api. Sebahagian daripada mereka adalah taat kepada Allah dan sebahagiannya menderhaka, seperti manusia: tetapi mereka boleh mengambil berbagai-bagai bentuk seperti malaikat.

[Bentuk asasnya ialah rohani]

Allah jadikan mereka tidak kelihatan kepada pandangan manusia melainkan bila Allah angkatkan tutupan kepada orang-orang tertentu untuk mereka melihatnya. Oleh kerana jin tidak nyata dan seni, mereka boleh mengambil apa juga bentuk yang boleh dicapai oleh pancaindera menurut kemahuan mereka. Bentuk asasnya ialah kerohanian yang merupakan bentuk pertama yang diterima oleh jin pertama tatkala Allah membawanya kepada kewujudan. Kemudian ia mengambil berbagi-bagai bentuk menurut apa yang Allah kehendaki. Jika Allah bukakan pandangan kita sehingga kita dapat melihat bentuk-bentuk yang dapat disaksikan pancaindera melalui khayal, maka pada masa yang berlainan kamu akan dapat melihat manusia dalam berbagai-bagai bentuk yang tidak serupa antara satu sam alain.

[Pembiakan jin dan manusia]

Kemudian Allah tiupkan roh ke dalam nyalaan api yang bergolak lantaran keadaannya yang tidak pejal itu. Tiupan menambahkana pergolakan tersebut dan udara menguasainya dan ia tidak tinggal dalama keadaan yang sama. Alam jin muncul dalam bentuk demikian. Sebagaimana persetubuhan berlaku dalam kehidupan manusia secara memasukkan air ke dalam kandungan lalu menghasilkan pembiakan dan kelahiran dalam bangsa Adam yang fana, begitu juga dengan pembiakan berlaku pada jin secara memindahkan udara ke dalam kandungan perempuan dan pembiakan serta kelahiran berlaku pada jin. Mereka keluar melalui Sagittarius dan keadaannya yang berapi-api. Ini telah diceritakan oleh orang yang telah sampai – semoga Allah melindunginya!

[Tempuh di antara penciptaan jin dan penciptaan manusia]

Tempuh di antara penciptaan Jann (jin pertama) dengan penciptaan Adam ialah 60,000 tahun. Ini adalah perlu menurut dakwaan sesetengah orang bahawa kelahiran jin berakhir selepas 4,000 tahun dan kelahiran manusia berakhir selepas 7,000 tahun. Walau bagaimanapun, ianya tidak berlaku berdasarkan yang demikian. Ianya akan berlaku menurut kehendak Allah. Jin masih membiak dan akan terus membiak. Jadi bilakah manusia bermula, berapa tahun pembiakannya yang masih tinggal, berapa lama lagikah sebelum berakhirnya dunia ini dan bangsa manusia terhapus dari muka bumi ini dan mereka dipindahkan ke Alam Kemudian? Ini bukanlah pegangan mereka yang kukuh dalam ilmu. Ia dikatakan oleh sebilangan kecil sahaja dan tidak akan diulangi.

[Jin adalah ruang di antara malaikat dengan manusia]

Malaikat adalah roh yang ditiupkan ke dalam nur (cahaya). Jin adalah roh yang ditiupkan ke dalam angin. Manusia adalah roh yang ditiupkan ke dalam bentuk. Ada yang mengatakan bahawa yang perempuan tidak berpisah daripada jin yang mula-mula wujud, seperti Hawa berpisah daripada Adam. Salah seorang daripada mereka mengatakan Allah ciptakan anggota pada jin pertama, maka satu bahagiannya bersetubuh dengan bahagiannya yang lain dan keturunannya dilahirkan seperti keturunan Adam dilahirkan: lelaki dan perempuan berkahwin. Jadi sifat jin ialah memiliki kedua-dua jantina. Oleh kerana itu jin merupakan sebahagian daripada ruang di antara: mereka menyerupai manusia dan menyerupai malaikat kerana kedua-dua jantina menyerupai lelaki dan perempuan.

[Makanan dan perkahwinan jin]

Anasir udara dan api menguasai kejadian jin. Oleh kerana itu makanannya ialah apa yang di bawa oleh udara iaitu lemak di dalam tulang. Allah jadikan persediaan ini dalam mereka. Jadi kita dapati bahawa tulang dan dagingnya tidak berkurangan sama sekali dan kita tahu bahawa Allah berikan kepada mereka zat dalam tulang itu. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w mengenai tulang, “Tulang adalah makanan saudara kamu dari golongan jin”. Dalam satu hadis, “Allah taruhkan zat pemakanan mereka di dalamnya”. Orang yang hal ini dibukakan kepadanya menceritakan kepada kami dia telah melihat jin mendapatkan tulang dan menghidunya seperti haiwan menghidu mangsanya. Kemudian mereka pergi sesudah mengambil makanannya. Makanannya diambil melalui penghiduan itu. Segala puji bagi Yang Maha Lemah-lembut (al-Latiff) dan Yang Maha Mengerti!

Bagi penyatuan mereka dalam perkahwinan, ia dalam bentuk berpusing – seperti apa yang kelihatan pada asap yang keluar dari tempat bakaran. Asap itu bercampur-gaul dan setiap individu jin itu menikmati kemasukan yang berbalas-balasan itu. Pancutan maninya seperti biji palma dan dalam bentuk bau yang asli, sama seperti makanannya.

[Puak dan kumpulan jin]

Mereka berpuak-puak dan berkumpulan. Dikatakan mereka tergolong kepada dua belas puak dan kemudian bercabang kepada puak-puak yang lebih kecil. Biasa berlaku peperangan besar di antara mereka, dan sebahagian daripada angin puting beliung adalah sebenarnya di tengah-tengah pertempuran mereka. Puting beliung itu merupakan perlawanan yang berbalas-balasan di antara dua angin yang bertentangan, masing-masing menghalang yang satu lagi daripada melepasi. Jadi penahanan itu membawa kepada bulatan yang dapat disaksikan oleh mata sebagai debu yang nyata yang merupakan kesan kepada perlawanan dua angin itu. Pertempuran mereka adalah seperti itu, tetapi bukanlah pula setiap puting beliung itu pertempuran mereka. Kisah jin ‘Amr merupakan kisah yang terkenal. Ia terbunuh di dalam puting beliung yang kelihatan. Ia pecah daripadanya ketika ia hampir mati. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk mati. Ia adalah jin yang salih. Jika asas buku ini adalah untuk menceritakan sejarah dan budaya kami tentu ceritakan sebahagian daripadanya, tetapi buku ini adalah mengenai maksud ilmu pengetahuan. Kamu boleh mencari ceritanya pada tempat yang lain, dalam buku sejarah dan puisi.

[Cara alam makhluk rohani muncul dalam rupa bentuk]

Bila alam rohani mengambil bentuk dan muncul dalam bentuk yang boleh ditangkap oleh pancaindera, mata mengurung makhluk rohani itu kerana makhluk rohani itu tidak dapat melepaskan bentuk yang ia muncul itu kerana mata terus melihat kepadanya walaupun yang melihat itu ialah manusia. Bila mata manusia jelas mengenai makhluk rohani itu, ia tidak mempunyai tempat untuk menghilangkan diri, maka makhluk rohani itu menjelmakan bentuk yang ia gunakan untuk menutupi dirinya. Kemudian makhluk rohani itu membuat manusia mengkhayalkan yang bentuk itu telah meninggalkannya pada satu arah, lalu mata mengikuti arah tersebut. Bila mata mengikutinya, makhluk rohani itu meninggalkan kurungan mata tadi dan menghilang. Bila ia menghilang, bentuk itu hilang dari pandangan orang yang sedang memandang kepadanya dan mengikutinya dengan pandangannya. Dalam hubungan dengan makhluk rohani itu, bentuk itu adalah umpama cahaya yang di dalam bekas lampu yang cahayanya dihamburkan di penjuru-penjuru. Bila badan lampu itu tiada cahaya pun hilang. Beginilah keadaan bentuk itu. Jika seseorang mengetahui hal ini, dan mahu mengurung makhluk rohani itu, dia tidak harus mengikuti makhluk rohani itu dengan matanya. Ini adalah salah satu rahsia Ilahi yang hanya diketahui oleh mereka yang mendapat petunjuk Allah. Bentuk itu tidak lain daripada makhluk rohani itu. Sebenarnya ia adalah sama, sekalipun ia berada pada seribu tempat, atau pada setiap tempat, dengan bentuk yang berlainan.

Andaikata salah satu bentuk itu dibunuh dan kelihatan mati, makhluk rohani itu meninggalkan kehidupan dunia ini dan pergi ke ruang antara sebagaimana kita pergi apabila kita meninggal. Tidak ada maklumat mengenainya tinggal di dalam dunia ini, seperti keadaan kita juga. Bentuk yang boleh ditangkap oleh pancaindera yang diambil oleh makhluk rohani itu dinamakan ‘tubuh’. Allah berfirman,
“Kami adakan hanya jasad di atas singgahsananya” (38:34)
dan
“Kami tidak berikan kepada mereka tubuh yang tidak memakan makanan” (21:8).
Perbezaan di antara jin dengan malaikat, walaupun secara kerohaniannya mereka serupa, ialah makanan jin mengandungi makanan yang didapati dalam tubuh asli. Malaikat tidak demikian. Itulah sebabnya Allah ceritakan tentang tetamu Nabi Ibrahim a.s,
“Bila dia melihat tangan mereka tidak mengambilnya, dia mencurigai mereka” (11:70),
iaitu malaikat tidak menjamah daging panggang dan mereka tidak memakannya yang membuat Nabi Ibrahim a.s curiga.

[Pembentukan alam jin]

Apabila sampai masa dijadikan alam jin, Dia memerintahkan tiga daripada malaikat yang kepercayaan dalam sfera pertama yang membawa pembantu-pembantu mereka yang diperlukan untuk tugas ini dari langit kedua. Mereka turun ke langit-langit dan mengambil dua pembantu dari langit ke dua dan ke enam. Mereka turun ke anasir dan menyediakan tempat tersebut. Tiga lagi penjaga mengikuti mereka, dan mereka membawa apa juga pembantu yang diperlukan daripada langit kedua, kemudian turun ke langit ke tiga, dan daripada sana kepada yang ke lima. Mereka mengambil dua malaikat. Mereka melalui langit ke enam dan dan mengambil dua pembantu daripada malaikat. Kemudian mereka turun ke anasir bagi melengkapkan pembentukan itu. Enam yang lebihnya turun dan mengambil pembantu yang selebihnya di dalam langit ke dua dan langit-langit. Semuanya dikumpulkan bagi susunan kejadian ini dengan izin Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.

Bila kejadian alam jin selesai, Allah perintahkan roh daripada Alam Pemerintahan dan tiupkan kepada bentuk yang telah sedia itu dan kehidupan pun mengalir ke dalamnya. Ia pun berdiri mengucapkan puji-pujian kepada Penciptanya: ini merupakan ketentuan semulajadi yang Dia aturkan. Terkandung di dalamnya ialah kekuatan dan kebesaran yang penyebabnya tidak dikenali dan tidak ditemui kerana pada masa itu tidak ada makhluk lain yang wujud dalam alam semulajadi ini selain ia. Ia beribadat kepada Tuhannya, memperakui kekuasaan-Nya, merendah diri kepada Tuhannya yang telah mewujudkannya sebagai satu makhluk sehinggalah Adam diciptakan. Bila jin ini melihat lembaga Adam, salah seorang daripada mereka yang bernama al-Harith, dikuasai oleh kebencian kepada lembaga tersebut dan kemarahannya menyala-nyala tatkala menyaksikan lembaga Adam itu. Puaknya yang lain melihat keadaannya dan mengkeritiknya lantaran mereka melihat ia bersedih dan berdukacita di atas kejadian Adam itu. Bila kejadian Adam telah siap, al-Harith menunjukkan apa yang tersirat dalam dirinya dengan mengingkari perintah Penciptanya supaya sujud kepada Adam dan ia menjadi angkuh terhadap Adam berbangga dengan asal usulnya (daripada api yang ia rasakan lebih mulia daripada tanah). Ia gagal melihat rahsia kekuatan air yang daripadanya Allah jadikan setiap makhluk yang hidup ini, dan daripadanya juga datangnya kehidupan jin sekalipun ia tidak menyedarinya.

[Penciptaan Adam dan kejadian manusia]

Jika kamu terdiri daripada mereka yang tidak disingkapkan, fikirkanlah tentang firman Allah,
dan singgahsana-Nya di atas air” (11:7).
Jadi, singgahsana dan makhluk di sekelilingnya memperolehi kehidupan melalui air.
“Tidak ada yang tidak meninggikan puji-pujian terhadap-Nya” (17:44).
Dia menggunakan yang negatif. Hanya yang hidup mengagungkan. Dala satu hadis yang baik Rasulullah s.a.w bersabda, “Malaikat berkata,’Wahai Tuhan (dalam hadis yang panjang)!adakah Engkau ciptakan sesuatu yang lebih kuat daripada api?’ Dia menjawab,’Iya, air.'” Jadi, Dia jadikan air lebih kuat daripada api. Sekiranya anasir udara dalam struktur jin tidak dinyalakan oleh api, maka jin tentunya menjadi lebih kuat daripada keturunan Adam, kerana udara lebih kuat daripada air. Dalam hadis ini malaikat bertanya, “Wahai Tuhan, adakah Engkau ciptakan sesuatu yang lebih kuat daripada api?” Dia menjawab, “Ya, keturunan Adam.” Allah jadikan organisma manusia lebih kuat daripada udara. Air lebih kuat daripada api, dan ia merupakan anasir utama dalam manusia sebagaimana api menjadi anasir utama dalam jin. Inilah sebabnya Allah katakan tentang syaitan,
“Sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah” (4:76).
Ia tidak menganggap berkekuatan terhadapnya sama sekali. Ia tidak menafikannya kepada Gobernor Mesir tatkala ia bertkata,
“sesungguhnya tipu daya kamu kuat” (12:27)…

Sebab bagi yang demikian ialah organisma manusia memiliki kesesuaian untuk melahirkan sikap berhati-hati, keteguhan hati, bertafakur dan berfikir lantaran pengaruh anasir tanah dan air dalam sifat manusia. Jadi manusia memiliki akal yang lebih kerana tanah memegangnya dan menahannya sementara air menjadikannya lemah-lembut dan mudah. Jin tidak demikian. Akal jin tidak memiliki yang demikian yang boleh membuatnya berpegang kepada sesuatu sebagaimana manusia boleh lakukan. Sebab itu kita katakan, “Si anu ‘ringan’ akalnya dan ‘malap’ fikirannya” bila dia berkelakuan bodoh dan dungu! Ini merupakan sifat jin, dan dengannya jin sesat daripada jalan petunjuk kerana sifat aslinya yang dungu dan kurang kecerdasannya dalam berfikir. Jadi ia berkata,
“Aku lebih mulia daripadanya” (7:12)
dan menggabungkan kejahilan dan akhlak yang buruk kerana sifat dungunya.

[Syaitan pertama dari golongan jin]

Mana-mana jin yang derhaka adalah syaitan, iaitu yang tercampak jauh daripada rahmat Allah. Al-Harith adalah jin pertama yang dipanggil syaitan. Allah menghalaunya dalam keadaan putus asa, iaitu menghalaunya keluar dari rahmat-Nya dan mengharamkan rahmat ke atasnya. Daripadanya cabang-cabang syaitan muncul. Mana-mana jin yang beriman, seperti Hama ibn Alham ibn Laqis ibn Iblis, bergabung dengan jin yang beriman. Mana-mana yang tinggal dalam keingkaran adalah syaitan. Ia hanya merupakan sedikit perselisihan pendapat di kalangan ulama Syariat. Ada yang mengatakan syaitan tidak pernah tunduk, berpandukan daripada apa yang Rasulullah s.a.w katakan tentang syaitan yang menjadi sahabatnya, “Allah berikan daku kekuatan ke atasnya maka dia tunduk (aslama).” Mereka yang mentafsirkan baginda sebagai berkata “aslamu” mengambil kefahaman “Daku selamat daripadanya” dan ia tidak mempunyai jalan ke atasku. Jadi, terjemahannya berbeza. Jika ia diterjemahkan sebagai “aslama” maka ia tunduk. Ia bermakna ia tunduk walaupun ia menjadi musuh maka ia tidak menyuruhku melainkan kepada kebaikan, dipaksakan berbuat demikian oleh Allah dan sebagai perlindungan kepada Rasulullah s.a.w. Yang bertentangan berkata bahawa “aslama” bermakna bahawa ia percaya kepada Allah seperti yang tidak percaya bertukar menjadi Muslim dan beriman. Ini adalah lebih tepat dan diterima.

[Iblis adalah jin celaka yang pertama]

Kebanyakan orang berpendapat al-Harith adalah jin yang pertama, dan ia merupakan jin yang sama kedudukannya dengan jin-jin yang lain seperti umat manusia dengan Adam. Kami tidak berpendapat demikian. Al-Harith adalah salah satu daripada jin, tetapi yang menyamai seperti kedudukan Adam bagi umat manusia adalah jin yang lain. Inilah sebabnya Allah berfirman,
“Iblis adalah salah satu jin” (18:50),
iaitu ia adalah dalam kategori penciptaan ini. Sama juga Qabil adalah salah seorang manusia, tetapi Allah catitkannya di kalangan yang celaka. Dia adalah yang pertama dari kalangan manusia yang celaka, dan iblis adalah yang pertama yang celaka di kalangan jin. Kebanyakan seksaan bagi syaitan bangsa jin di dalam neraka ialah dengan kesejukan yang amat sangat, bukan dengan kepanasan, walaupun mereka mungkin diseksa dengan api. Kebanyakan seksaan untuk keturunan Adam ialah dengan api.

Satu hari aku berjumpa dengan seorang wali yang meracau. Dia menangis dan berkata kepada orang ramai,
“Jangan berhenti dengan perkataan-Nya, ‘Aku akan penuhkan Jahannam dengan kamu'” (38:85)
dan memaksudkannya dengan iblis sahaja. Perhatikan bagaiamana Dia menyampaikan kepada kamu secara tidak langsung bila Dia berfirman, ‘…jahannam dengan kamu.’ Iblis dijadikan daripada api maka dia kembali kepada asal usulnya – semoga Allah melaknatinya! Jika iblis diseksa dengannya, seksaan bagi periuk belangan dengan api adalah lebih lagi, maka ambillah perhatian!

Bila Jahannam disebutkan, wali ini hanya memikirkan api secara khusus, dan lupa akan kenyataan bahawa Jahannam adalah nama bagi kedua-duanya iaitu panas yang bersangatan dan sejuk yang bersangatan. Ia dipanggil jahannam kerana rupanya yang masam (jahama. Jahuma bermakna ‘memiliki rupa yang hodoh’) kerana rupanya yang menimbulkan rasa kebencian. Jaham adalah perkataan bagi awan yang sudahpun mencurahkan air yang dikandungnya. Hujan yang lebat merupakan rahmat Allah. Bila Allah sudah mengeluarkan hujan daripada awan, maka nama jaham digunakan baginya kerana rahmat iaitu hujan yang lebat sudah tiada lagi. Begitu juga, Allah telah menghilangkan rahmat daripada Jahannam yang dibenci menurut pandangan dan lapuran. Ia dinamakan Jahannam kerana ia terlalu dalam. Ada yang mengatakan, “sedalam Jahannam” bila menyatakan sesuatu yang sangat dalam. Kita bermohon kepada Allah Yang Maha Besar agar dikurniakan kepada kita dan sekalian orang yang beriman keselamatan daripadanya!

%d bloggers like this: